Wednesday, September 3, 2014

Apa yang Berlaku Pada Hari Ini?

Sejak akhir-akhir ini, jikalau kita sedar banyak fenomena melanda dunia umat Islam. Tidak kiralah sama ada di Malaysia dengan kemunculan pelbagai fahaman yang mula menyuburkan wacana-wacananya ataupun melibatkan isu-isu internasional.

Situasi ini sedikit demi sedikit mempengaruhi beberapa pembacaanku lebih-lebih lagi cuti yang berbaki masih enak jika dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam kita membaca teori-teori dan isu-isu yang berlaku dalam trend masharakat hari ini, perlunya kita kepada satu panduan supaya pembacaan, penafsiran dan pengkajian kita tidak melencong jauh dan tidak menemui hujung penyelesaiannya.

Oleh itu, penguasaan bahasa yang kukuh perlu ada pada diri kita. Hal ini telah diungkapkan oleh al-Qaradawi dalam Thaqafah al-Da'iyah begitu juga dalam koleksi makalah al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin.

Penggunaan istilah bahasa yang tepat dan mengikut konteks penting dalam kita memahami sesebuah buku mahupun artikel dan apa-apa pun sumber bahan bacaan supaya kita tidak silap menterjemahnya dengan istilah yang salah ke bahasa kita.

Masyarakat kita pada hari ini begitu miskin dengan kosa kata lantaran sumber bahan bacaannya yang klise dan tidak pernah berusaha untuk menaiki tangga-tangga tahap sumber bacaan. Masih ada lagi masyarakat kita pada hari ini yang hari-hariannya menganalisis fakta dan isu-isu hanya melalui surat khabar semata.

Hal ini merupakan perkara yang membahayakan seperti yang diungkapkan oleh Mortimer J Adler dan Charles Van Doren dalam How to Read A Book. Proses pembacaan ini ibarat kita bersenam. Semakin penat jasmani kita, semakin tajam akal dan pemahaman kita. Ini juga telah dibuktikan dengan banyak kajian saintifik khususnya kesan jangka masa panjang kepada kesihatan minda golongan warga emas.

Dalam membaca juga, memang menjadi suatu perkara yang memalukan apabila kita gagal mempraktiskan apa yang dibaca. Sehingga sampai satu tahap, boleh jadi orang yang walaupun ilmunya tidak sebanyak mana tetapi dia menghayati dan mengamalkan ilmu yang dia ada lebih bagus berbanding mereka yang memikul kitab-kitab tebal di atas bahu mereka ini.

Apa-apa pun, cabaran limpahan teknologi pada hari ini tidak boleh membuatkan kita terpedaya dan seterusnya romantis dengan sejarah kegemilangan Islam masa lalu, lantas tidak sedar maha hebatnya umat Islam pada hari ini diserang dari luar dan dalam.

Jangan dalam kita sedang bersuka ria menonton televisyen, masyarakat Barat pula sudah mengkhatamkan beribu-ribu kitab agama Islam dan sedang sibuk menterjemah karya-karya agung yang langsung kita tidak kenali ini!

Monday, July 1, 2013

Hakikat Sahabat

Kenalan
taulan
teman
bukan semua rapat
tak semua mendengari
tak semua memahami.

Hargailah
apabila wujud
insan seperti ini
pengubat duka
meluah rasa
bernafas terus di dunia.

Masjid Sabihah
6:55 pm
30 Jun 2013

Saturday, June 29, 2013

mencari kehidupan

kau hanyut,
terkadang dipandu arus laju,
sekejap kau gayut,
sekejap kau berpaut.

oh,
dahan itu kecil,
usahakan untuk yang besar,
perkasakan genggaman,
utuhkan cengkaman,
agar kau bersemadi aman.

mencari makna kehidupan,
kebosanan merajai jiwa,
mengapa ia menjelma,
apa gagal kau merencana?

Villa Saadah

kegelapan sejenak

hitam,
cahaya kalimantang terpadam,
bibit kerisauan menjelma,
menjadi satu lembaga,
lalu mencetus,
keluhan dalam kesabaran.

alah bisa tegal biasa,
walau ujian bertimpa,
ujian dalam ujian,
itulah makna kehidupan.

Tuesday, June 25, 2013

oh, nikmat!

selimut itu terhampar,
dibuat pengganti tilam,
disangka kain permaidani,
tempat rehatnya lambung ini.

hari ini,
bibit kesedaran mula timbul,
bagaimana bisa kekasihNya,
hanya beralaskan sehampar tikar.

oh,
mewahnya manusia,
hingga alpa dengan kelimpahan,
rasa tidak cukup,
moga kita jauh darinya.

iman berbolak

insan,
tidak bisa hidup sendiri,
akan sentiasa diuji,
apa punya iman sejati.

demikian,
dia mencari agamanya,
semangat mahu mengenal Pencipta,
akhirnya,
dia tersembam,
asukan syaitan lebih berkuasa.

dia tercari-cari,
mencari murabbi,
agar dia bisa dibimbing,
namun,
harapannya bak kaca,
berkecai menangis hiba.

Thursday, June 6, 2013

emosi ini

langit sepi tanpa awan,
cahaya terik memancar padu,
sang matahari bagai raja,
keringat insan mengalir laju.

geografi,
ilmu,
pengorbanan,
faktor penebal kerinduan,
terimbau jasa keluarga,
memberi tanpa mengharap balas,
penuh kasih sayang,
amat sukar dinikmati kini.

oh, Raja sekalian alam,
limpahkan ihsan pada insan lemah ini,
kurniakan ketetapan hati,
kecekalan azam,
entiti taufiq dan hidayah,
moga kekal menuju ke sorga.